KUALA LUMPUR 11 OGOS 2014 - Dalam laporan akhbar mingguan pada Ahad lalu, Wan Sharmila dikhabarkan sudah pun membuat persiapan majlis pernikahan dan perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya yang bakal diadakan pada September ini. Malah bakal suami pelakon drama bersiri 'Tari Tirana' itu juga dikatakan bukan orang seni sebaliknya bertugas sebagai juruterbang.
Bercakap kepada mStar online, wanita berusia 33 tahun itu bagaimanapun berkata, dia terkejut dengan laporan tersebut sekaligus menegaskan tiada sebarang majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.
"Jujur saya terkejut kerana hanya tahu mengenai perkara ini apabila awak bertanya soalan itu kepada saya dan belum sempat membeli akhbar sebab sekarang ini saya berada di lokasi penggambaran.
"Apa-apa pun cerita itu tidak benar dan saya tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini," katanya.
Dalam pada itu, ditanya adakah benar dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berkenaan, Wan Sharmila mengambil sikap untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi.
Jelas Wan Sharmila, dia bimbang kenyataannya akan disalah ertikan oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan masalah lain timbul di kemudian hari.
"Maafkan saya kerana tidak boleh menjawab soalan itu kerana saya tidak mahu bercakap soal peribadi," katanya ringkas.
Wan Sharmila sebelum ini pernah berkahwin dengan Fazli Baharom pada 2007 sebelum bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober 2009 di Mahakamah Rendah Syariah Johor Bahru.
No comments:
Post a Comment