KUALA LUMPUR, 12 DIS 2012: Dari minggu pertama sehinggalah minggu keempat program Maharaja Lawak Mega 2012 dijalankan, ahli kumpulan Shiro iaitu Shahrol dilaporkan sering saja keluar masuk hospital kerana mengalami demam yang teruk.
Atas sebab itu, kejadian yang menimpa Shahrol ini disifatkan mempunyai persamaan dengan arwah Bob Kuman yang turut menerima rawatan sepanjang arwah menyertai Maharaja Lawak Mega tahun lalu.
Menjawab persoalan ini, Shahrol terkejut apabila memikirkan soalan berkenaan dengan lebih mendalam lagi. Namun, jejaka yang dikatakan perwatakannya persis Jep Sepahtu itu hanya mampu menjalani kehidupannya seperti biasa dan menganggap ianya sebagai satu kebetulan sahaja.
"Saya terus jadi cergas apabila dengar soalan ini. Sebenarnya, situasi saya dengan arwah Bob amat berbeza. Pada waktu itu, arwah Bob memang sudah pun disahkan mengalami sakit yang teruk.
"Saya pula hanyalah terkena jangkitan kuman dalam darah. Syukur, saya tidak mengalami sakit teruk dan demam yang saya alami pula semakin pulih. Sekarang ini, saya berada di kampung untuk berehat seketika.
"Dalam masa yang sama, saya sedang mencari idea untuk melakukan persembahan pada minggu ini. Memandangkan minggu ini berkonsepkan muzikal komedi, berkemungkinan besar kami akan mengunakan lagu dari Rahimah Rahim bertajuk Gadis Dan Bunga untuk persembahan kami," katanya ketika dihubungi murai.com.my, pagi tadi.
Meneruskan penjelasan, sebelum mengetahui sakit yang dihadapinya, Shahrol berkata, tidak sedikit pun tidak terlintas di fikirannya bahawa dia barangkali terkena sakit mistik atau pun buatan orang.
"Saya tidak terfikir sampai ke tahap itu. Bukannya saya tidak percaya terhadap sakit sebegini. Tapi, kalau boleh saya berdoa supaya janganlah terkena sakit yang sedemikian rupa.
"Terus-terang, disebabkan demam ini, saya terpaksa berlatih di hospital. Ia banyak memberikan tekanan. Malah, sebelum mengadakan persembahan, saya terpaksa makan ubat yang diberikan doktor.
"Demam sayapula semakin teruk semasa minggu ketiga hingga saya terpaksa memakai tiga lapis baju sejuk. Selepas tamat persembahan minggu ketiga, saya terus menggigil dan terus ditahan dalam wad. Kalau hendak diikutkan doktor tidak benarkan saya buat persembahan pada minggu keempat pada Jumaat lepas. Tapi, saya yang berdegil hendak buat juga persembahan," jelasnya.
Sementara itu, Shahrol memberitahu persembahan pasangannya iaitu Ajak sedikit kurang fokus pada minggu pertama kerana Ajak baru saja pulang dari menjayakan rakaman Fear Factor Selebriti Malaysia.
No comments:
Post a Comment