21 April 2014

Depan Mata: Gadai bahagia demi nama

Kisah peribadi artis sama ada percintaan, perkahwinan dan perceraian sememangnya cepat jadi perhatian. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan cerita perkahwinan rahsia Aeril Zafril dan Wawa Zainal, kemudian sandiwara cinta Uqasha dan Pekin dikatakan bergolak gara-gara orang ketiga, Sharnaaz Ahmad tetapi akhirnya dikatakan hanya salah faham.

Begitu juga rumah tangga Fiza Kadir dan Adam AF yang dibina 26 September lalu, dikatakan bergolak gara-gara cemburu apabila Adam melihat isterinya bercakap dengan bekas kekasih. Adam juga memberi penjelasan dan mengatakan hanya salah faham dan tidak seharusnya diperbesarkan.

Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Adam dan Fiza boleh ambil iktibar dari gosip ini kerana ada mata yang melihat dan telinga mendengar apa yang mereka lakukan.

Dalam melayari kehidupan bersama, banyak dugaannya dan semua itu akan menguji sejauh mana cinta mereka, kesetiaan, keikhlasan dan saling memahami antara satu sama. Itu semua proses dalam mematangkan mereka yang baru melangkah gerbang perkahwinan.

Dalam soal cinta dan kahwin, ada artis sedia berkongsi dengan peminat tetapi ada juga mahu merahsiakannya dan membiarkan ia menjadi teka-teki apabila dihidu media.

Tapi kalau bab cerai, memang selalunya cuba dirahsiakan. Ada yang hanya diketahui selepas bertahun-tahun dan ada juga mengetahui rumah tangga artis ini bermasalah apabila kes cerai mereka dibawa ke mahkamah. Ketika itu, tiada apa lagi yang boleh dirahsiakan kerana kes mereka cepat tersebar.

Apakah tidak lama lagi kita akan dikejutkan dengan berita perceraian seorang artis popular? Dengarnya ketika ini mereka dalam perbincangan untuk bercerai tetapi memilih untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Peguam kedua pihak berbincang mengenai apa yang diinginkan serta syarat-syaratnya dan apabila kedua pihak mencapai kata sepakat, barulah ditandatangani surat cerai. Cara ini lebih baik supaya segala cerita dalam kain mengenai punca perceraian mereka tidak diketahui umum.

Jika ini berlaku, memang sangat menyedihkan kerana runtuhnya satu lagi masjid. Perceraian itu memanglah dihalalkan agama tetapi perlu ingat, ia perkara yang sangat tidak disukai Allah.

Sayang seribu kali sayang kerana artis ini dilihat cukup bahagia. Dia cantik, popular, bertemu jodoh dengan lelaki yang baik dan kedua-duanya sama cantik sama padan. Melengkapkan lagi kebahagiaan itu, mereka dikurniakan anak yang sangat comel sebagai penyeri rumah tangga mereka.

Tapi itu bagi kita yang melihat luarannya yang elok dan molek saja tapi artis ini dan suaminya yang melayari rumah tangga, merekalah yang lebih tahu masalah dilalui. Orang luar hanya mampu berkata-kata atau mencemuh.

Apa yang menyedihkan, orang ketiga dikatakan menjadi puncanya. Malah suami artis ini begitu yakin isterinya ada lelaki lain selepas membuat siasatan rapi. Bukan hanya penemuan bukti malah pengakuan dari orang yang rapat dengan isterinya.

Dalam hal ini, bukan suami yang mengamuk dan mahu melepaskan isteri sebaliknya seboleh mungkin mahu menyelamatkan rumah tangga mereka. Dia tidak mahu meruntuhkan masjid yang dibina kerana dalam keluarganya istilah cerai terlalu berat dan cuba dielakkan. Dia juga tidak mahu anak membesar dalam keadaan ibu bapa hidup berasingan.

Dia mahu memberi peluang kepada isterinya kerana yakin mampu menjadi isteri dan ibu yang baik, tapi perlulah memberi keutamaan kepada keluarga.

Apabila mendengar perkara ini, kasihan pula mendengarnya. Apakah artis ini tidak berfikir panjang apabila berani bermain dengan api. Jika rumah tangga bahagia dengan suami yang baik, direstui keluarga dan mempunyai anak, sudah tentu satu kesilapan besar untuk buat hal di luar.

Apa lagi yang dicari artis ini? Ingatkan sudah bertemu jodoh yang sesuai dan mampu memberi kebahagiaan hingga ke hujung nyawa. Usia bukan muda lagi, sepatutnya dalam usia begini, dia patutnya berada pada satu tahap hidup aman bahagia bersama keluarga.

Banyak kita lihat artis yang memberi tumpuan kepada keluarga selepas dan kerjaya seni dan populariti bukan lagi perkara utama yang dikejar.

Ini juga yang pernah diminta suaminya supaya kurangkan aktiviti seni tetapi tidak menghalang terus sebaliknya tumpu pada satu bidang saja supaya lebih banyak masa bersama keluarga. Apabila sibuk di luar pagi petang siang dan malam, tentu sedikit sebanyak menjejaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

Apabila tanggungjawab diabaikan, ia boleh dijadikan senjata oleh suami untuk mendapatkan hak penjagaan anak jika berlaku perceraian. Walaupun ibu lebih berhak mendapatkan penjagaan anak, kalau dapat dibuktikan dia gagal menjalankan tanggungjawabnya selama ini, sudah tentu satu kerugian bagi artis ini.

Tambah memburukkan keadaan, kecurangannya jika benar bagai dikata, boleh dijadikan senjata untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Suami boleh menggunakan ia sebagai satu ugutan hingga membuatkan artis ini tiada pilihan dengan menyerahkan hak penjagaan anak kepada suami.

Tambah pula bukan suami yang ingin bercerai tetapi dirinya, sudah tentu ada yang perlu dikorbankan untuk mendapatkan kebebasan itu. Mengenali artis ini, dia memang sangat menyayangi anaknya ibaratnya, buah hati pengarang jantung.

Jika tidak dapat hak penjagaan anak, mungkin artis ini boleh berbincang dengan suami supaya diberi peluang bersama anak dua atau tiga hari seminggu.

Jika memang sudah tiada jalan perdamaian untuk kembali hidup sebumbung dan hanya perceraian jalan terbaik, berbincanglah secara baik sebelum menurunkan tandatangan supaya tidak timbul penyesalan di kemudian hari.

Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna. Jika masih terus mengejar nama dan populariti, akan ‘hilang’ sesuatu. Sukar untuk berada pada tahap hidup bahagia bersama suami dan anak, waktu sama nama dan kegemilangan masih terus hebat.

Jika memilih hidup sederhana, insya-Allah kebahagiaan di depan mata tetapi sebaliknya kerana tiada yang sempurna pasti ada lompong di mana-mana. Muhasabah diri kerana setiap kita memang inginkan hidup bahagia bersama insan disayangi.

No comments:

Post a Comment