Kekejaman puak Zionis nampaknya terus berterusan dan mendapat restu pengganas-pengganas besar dunia, terutamanya Amerika Syarikat dan Britain.
Antara alasan yang sering digunakan sejak bertahun lamanya oleh rejim pengganas Zionis sebagai legitimasi kepungan dan serangan mereka ke atas Gaza dan pencerobohan mereka di Tebing Barat adalah ‘Israel punya hak untuk mempertahankan dirinya sendiri’ iaitu merujuk kepada serangan roket oleh tentera pejuang Briged Izzudin Al Qassam dan Saraya Al Quds yang dilancarkan dari Gaza.
Terkini, ‘Israel Defense Forces’ (IDF) melalui laman media sosial telah melancarkan kempen ‘What would you do’ bagi mencari sokongan masyarakat dunia terhadap serangan yang mereka sedang lakukan di Gaza.
Alasan ini juga sering diulang-ulang oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi menyokong tindakan rejim pengganas Zionis seperti Obama, John Kerry,Francois Holande, Angela Merkel dan lain-lain,juga diulang-ulang oleh media-media yang sering menyebelahi kekejaman rejim pengganas Zionis seperti CNN, BBC dan ABC.
Malah, ada dari kalangan mereka yang simpati terhadap Gaza juga menggunakan alasan ini iaitu HAMAS wajib menghentikan serangan roket untuk mencapai jalan perdamaian dengan rejim pengganas Zionis dan juga untuk mengelakkan kepungan dan serangan.
Hakikat yang sebenar adalah HAMAS berhak sepenuhnya untuk mempertahankan diri dengan apa jua cara bahkan lebih dari berhak untuk menyerang Israel dengan roket dan apa jua persenjataan yang ada.
Sebab yang pertama adalah kerana negara haram Israel dibina di atas tanah-tanah yang dirampas secara paksa dari rakyat Palestin sejak lebih 60 tahun yang lalu.
Ramai yang dihalau keluar dari rumah sendiri untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi untuk mendirikan penempatan mereka. Rejim pengganas Zionis juga secara sistematik dengan menggunakan kekuatan ketenteraan telah menjajah banyak dari kawasan-kawasan Palestin sejak 1948 dan 1967.
Jadi rejim pengganas Zionis sebenarnya adalah penjajah dan perampas tanah rakyat Palestin, dan mereka yang dijajah berhak sepenuhnya secara moral dan menurut undang-undang untuk berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan.
HAMAS, Jihad Islam, FATAH dan mana-mana jua organisasi di Palestin berhak untuk berjuang menggunakan apa jua cara bagi membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajah.
Sebab yang kedua, sejak 60 tahun yang lalu, rejim pengganas Zionis telah mencabul maruah rakyat Palestin dengan amat kejam.
Banyak tragedi pembunuhan besar-besaran yang langsung tidak diambil tindakan oleh dunia. Shabra Shatilla, Jenin, pembunuhan 29 jemaah masjid oleh Baruch Goldstein, pembakaran masjid Al Aqsa oleh pelampau Yahudi pada tahun 1969 dan banyak lagi.
Menurut statistik dari UN sendiri, dikatakan lebih 0.3 juta rakyat Palestin telah terbunuh sejak 1967 sahaja. Itu belum yang dipenjarakan, mengalami kecederaan kekal, rumah dimusnahkan dan dihalau keluar.
Apakah satu bangsa yang punya maruah diri boleh bersabar dan tidak melawan atas penjarahan demi penjarahan yang dilakukan?
Atas sebab ini,roket-roket HAMAS mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk menyerang kembali bandar-bandar yang dibina di atas darah rakyat Palestin.
Sebab yang ketiga, rundingan demi rundingan telah berjalan sejak puluhan tahun, namun rejim pengganas Zionis tidak pernah menepati janjinya.
Tidak pernah ada rundingan yang menguntungkan rakyat Palestin dan jelas, rejim pengganas Zionis ini hanya akan tunduk dan faham dengan bahasa kekuatan sahaja.
Sebab yang keempat, Gaza, telah dikepung sejak 7 tahun yang lalu dari arah darat dan laut. Sempadan Rafah hanya dibuka sekali sekala oleh Mesir kecuali ketika zaman pemerintahan Presiden Morsi, dan tembok pemisah yang ada memisahkan Gaza dari dunia luar.
Import banyak barang-barang diharamkan termasuk barang-barang pembinaan, hanya barang-barang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk.
Nelayan juga tidak dibenarkan untuk memancing lebih dari 3 batu nautika dari pantai Gaza. Jika menghampiri atau melebihi jarak tersebut, nelayan akan ditembak atau ditangkap oleh tentera laut rejim pengganas Zionis.
Sebab yang kelima, Gaza juga telah menjadi sasaran serangan bertubi-tubi oleh rejim pengganas Zionis sejak tahun 2000. Siapa yang dapat melupakan serangan demi serangan menggunakan senjata yang terlarang seperti bom fosforus yang telah membunuh ribuan kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua.
Antaranya adalah serangan pada tahun 2008 yang telah membunuh lebih 1500 nyawa di Gaza, tidak cukup dengan itu, kapal bantuan Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan yang ingin ke Gaza juga diserang hingga mengakibatkan ada petugas kemanusiaan yang terbunuh.
Tidak ada manusia yang waras akalnya yang akan berdiam diri dan hanya melutut bila melihat anak-anak dibunuh di depan mata, ibu-ibu mereka ditembak dan dibom sesuka hati, sekolah dan masjid dimusnahkan, bahkan dalam operasi terbaru yang sedang berjalan sekarang, Hospital juga dibedil hingga ranap.
Media sosial telah mendedahkan kepada dunia apa yang sedang dan telah berlaku kepada Gaza secara khusus dan kepada Palestin secara umum yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Melihat kekejaman yang sedang berlaku di hadapan mata kita semua, apakah masih ada yang mempertikaikan serangan roket dari tentera Al Qassam dan mempercayai dendangan alasan rejim pengganas Zionis.
No comments:
Post a Comment